Selepas isteri Fred meninggal dunia, dia beranggapan bahawa dia dapat menahan kesengsaraannya asalkan dia dapat bersarapan pagi setiap Isnin bersama teman-temannya. Teman-temannya yang sama-sama pesara membangkitkan semangatnya. Setiap kali Fred kesedihan, dia terfikir bahawa lain kali dia boleh ditemani oleh teman-teman itu lagi. Meja sudut mereka ialah tempat selamat bagi Fred untuk mengatasi kesedihannya.
Walau bagaimanapun, lama-kelamaan pertemuan mereka terhenti. Beberapa orang rakan jatuh sakit; yang lain meninggal dunia. Kekosongan menyebabkan Fred mencari ketenangan dalam hadirat Tuhan yang dikenalnya semasa zaman belia. “Aku bersarapan pagi seorang diri sekarang,” katanya, “tetapi aku akan ingat untuk berpegang teguh pada kebenaran bahawa Yesus bersamaku. Maka apabila aku meninggalkan kedai makan itu, aku tidak menghadapi sehari suntuk sendirian.”
Seperti pemazmur, Fred menemukan perlindungan dan penghiburan dalam hadirat Tuhan: “Dialah penaungku … akan kupercaya kepada-Nya” (Mazmur 91:2). Perlindungan yang ditemukan oleh Fred bukanlah sebuah tempat fizikal untuk bersembunyi, tetapi hadirat Tuhan yang abadi, yang kita boleh menaruh kepercayaan dan mengalami kedamaian (ayat 1). Fred dan pemazmur mendapati bahawa mereka tidak perlu menghadapi hari-hari yang sukar bersendirian. Kita juga boleh yakin akan perlindungan dan pertolongan Tuhan. Apabila kita percaya kepada Tuhan, Dia berjanji untuk menjawab dan menyertai kita (ayat 14-16).
Adakah kita mempunyai tempat yang selamat, seperti “meja sudut” yang kita tujui apabila hidup kita susah? Kesusahan yang kita hadapi tidak akan berkekalan, tetapi Tuhan tetap kekal. Dia menunggu kita untuk datang kepada-Nya, penaung kita yang sejati.