“Kamu berguraukah?!” Saya menjerit sambil menyelongkar mesin pengering kami untuk mencari kemeja saya. Saya menemukannya. Dan … sesuatu yang lain.
Kesan dakwat kini kelihatan pada kemeja putih saya. Sebenarnya, kemeja saya kelihatan seperti kulit bulu jaguar: tompok-tompok dakwat terkena semua bahagian. Jelaslah saya terlupa memeriksa poket saya, dan pen yang bocor telah mengotorkan semua pakaian di dalam mesin basuh.
Alkitab sering menggunakan perkataan noda untuk menghuraikan dosa. Noda meresapi kain dan merosakkannya. Begitulah caranya Tuhan berfirman melalui nabi Yeremia untuk menghuraikan dosa, dengan mengingatkan umat-Nya bahawa tiada sesiapa pun mampu menghapuskan noda dosa sendiri: “Sekalipun engkau mencuci dirimu dengan garam abu dan memakai banyak sabun, noda kesalahanmu tetap ada di hadapan-Ku” (Yeremia 2:22).
Syukurlah, bahawa dosa tidak mendapat kata putus. Dalam Yesaya 1:18, kita mendengar janji Tuhan bahawa Dia boleh menyucikan kita daripada noda dosa: “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji; sekalipun merah seperti kesumba, semuanya akan menjadi seperti bulu domba.”
Saya tidak dapat menghapuskan kotoran dakwat pada kemeja saya. Begitu juga saya tidak dapat menghapuskan noda dosa saya. Syukurlah, Tuhan menyucikan kita dalam Kristus, seperti yang dijanjikan dalam 1 Yohanes 1:9: “Jika kita mengaku dosa kita, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan.”