Selama lebih daripada 130 tahun, Menara Eiffel tersergam dengan penuh semarak di bandar Paris, sebagai suatu simbol kecemerlangan dan keindahan dalam seni bina. Bandar ini dengan bangganya mempromosikan menara tersebut sebagai elemen utama kemegahannya.
Bagaimanapun, semasa menara ini didirikan, ramai orang memandang rendah terhadapnya. Misalnya penulis Perancis yang terkenal, Guy de Maupassant pernah berkata bahawa menara ini mempunyai “bentuk tirus yang pelik seperti cerobong kilang.” Dia tidak dapat melihat keindahan bangunan ini.
Kita yang mengasihi Yesus dan telah menaruh kepercayaan kepada-Nya sebagai Penyelamat kita, menganggap Dia indah atas sebab siapa Dia dan apa yang telah dilakukan-Nya untuk kita. Akan tetapi, nabi Yesaya menulis kata-kata ini: “Tidak ada keelokan dan tidak ada semarak padanya sehingga kita memandang dia, tidak ada tampang sehingga kita menginginkan dia” (53:2).
Bagaimanapun, kesemarakan unggul tentang apa yang dilakukan-Nya untuk kita ialah bentuk keindahan paling sejati dan murni yang pernah diketahui dan dialami manusia. “Dialah yang menanggung penyakit kita dan memikul derita kita” (ayat 4). Dia “terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya dan oleh bilur-bilurnya kita sembuh” (ayat 5).
Kita tidak akan mengenal sesiapa lagi yang seindah—sesemarak—seperti Yesus yang menderita untuk kita di kayu salib, menanggung segala hukuman untuk dosa-dosa kita pada diri-Nya.
Hanya Yesus. Dia yang terindah. Marilah kita menyandarkan harapan kita kepada Dia dan hidup demi Dia.