Para saintis dari sebuah universiti di California menjalankan ujian eksperimen swab molekul untuk mengenal pasti sifat dan tabiat gaya hidup pengguna telefon bimbit secara individu. Antara benda-benda yang ditemui mereka ialah sabun, losen, syampu, dan alat solek; jenis makanan, minuman dan ubat-ubatan yang mereka makan; dan jenis pakaian yang dipakai mereka. Kajian itu membolehkan para penyelidik membuat profil gaya hidup setiap orang.
Para pentadbir di Babilon juga seolah-olah “membuat ujian swab” ke atas kehidupan nabi Daniel untuk cuba mencari perkara atau tabiat yang tidak baik dalam kehidupannya. Tetapi dia telah setia berkhidmat kepada empayar Babilonia selama hampir tujuh puluh tahun—dikenali sebagai seorang yang setia dan “tidak didapati sesuatu kesilapan atau kesalahan padanya” (Daniel 6:4). Malah dia telah dilantik oleh Raja Darius sebagai salah seorang antara “tiga orang penyelia” atas para gabenornya (ayat 1-2). Disebabkan rasa dengki, pegawai-pegawai lain cuba mencari kesalahan Daniel supaya mereka dapat menghapuskannya. Bagaimanapun, dia melakukan tugasnya dengan penuh integriti, dan terus melayani Tuhan serta berdoa kepada-Nya, “seperti yang biasa dilakukannya selama ini” (ayat 10). Akhirnya, dia berjaya dalam peranannya (ayat 28).
Kesaksian hidup kita akan meninggalkan kesan yang mendalam serta mencerminkan siapa kita dan siapa yang kita wakili. Walaupun kita telah berusaha dan tidak sempurna, apabila orang di sekeliling kita “membuat ujian swab” ke atas kehidupan kita, semoga mereka melihat integriti dan pengabdian kita kepada Yesus ketika Dia membimbing kita.