Semasa cucu perempuan saya Eliana berumur tujuh tahun, dia pernah menonton video di sekolahnya tentang sebuah rumah anak yatim piatu di Guatemala. Dia memberitahu ibunya, “Kita perlu ke sana untuk membantu mereka.” Ibunya menjawab bahawa mereka berdua boleh memikirkan hal itu apabila dia sudah besar nanti.
Eliana tidak pernah lupa, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, keluarganya pergi ke rumah anak yatim piatu itu untuk membantu mereka. Dua tahun kemudian, mereka kembali semula ke sana, dan kali ini membawa beberapa lagi keluarga dari sekolah Eliana. Apabila Eliana berumur lima belas tahun, dia dan bapanya pergi sekali lagi ke Guatemala untuk melayani orang tempatan.
Kadangkala kita berfikir bahawa harapan dan cita-cita kanak-kanak tidaklah begitu penting seperti harapan orang dewasa. Tetapi dalam Alkitab, tidak ada perbezaan sedemikian, Tuhan memanggil kanak-kanak, seperti dalam kisah Samuel (1 Samuel 3:4). Yesus menghargai iman kanak-kanak (Lukas 18:16). Paulus mengatakan bahawa orang beriman yang lebih muda tidak seharusnya membiarkan orang lain meremehkan mereka hanya kerana mereka masih “muda” (1 Timotius 4:12). Oleh itu kita diperintahkan untuk membimbing anak-anak kita (Ulangan 6:6-7; Amsal 22:6), menyedari bahawa setiap kita patut memiliki iman seperti kanak-kanak (Matius 18:3) dan mengetahui bahawa menghalang mereka adalah sesuatu yang ditegah oleh Yesus (Lukas 18:15).
Apabila kita melihat timbul harapan dalam hati kanak-kanak, tugas kita sebagai orang dewasa adalah terus memberikan galakan; impinlah mereka ke arah kehidupan yang didedikasikan untuk mempercayai Yesus dan melayani Tuhan sesuai dengan perintah-Nya.