Barbara meninggal dunia sebelum sempat siap menjahit sehelai baju sejuk untuk cicit lelakinya, Ethan. Baju sejuk itu kemudiannya diserahkan kepada tukang jahit lain untuk menyiapkannya. Syukurlah ada sebuah organisasi yang menghubungkan para sukarelawan yang digelar sebagai “penyiap”—dengan orang yang kehilangan orang tersayang sebelum mereka sempat menyiapkan sesuatu kerja. Orang yang digelar “penyiap” itu dengan penuh kasih melaburkan masa dan menggunakan kemahiran mereka untuk menyiapkan sesuatu tugas yang dapat memberi penghiburan kepada mereka yang sedang berdukacita.
Tuhan juga melantik seorang “penyiap” untuk meneruskan tugas nabi Elia. Dia terasing dan tidak bersemangat kerana umat Israel menolak perjanjian Tuhan dan membunuh para nabi. Tuhan memerintahkan Elia untuk melantik Elisa sebagai penggantinya (1 Raja-Raja 19:16). Ini telah memastikan bahawa tugas untuk mengisytiharkan kebenaran Tuhan akan berterusan selepas kematian Elia.
Bagi menunjukkan kepada Elisa bahawa Tuhan telah memanggilnya untuk menggantikan Elia sebagai nabi Tuhan, Elia “melemparkan jubahnya kepada [Elisa]” (ayat 19). . Oleh sebab jubah nabi digunakan untuk menunjukkan kekuasaan seseorang sebagai jurucakap yang dipilih oleh Tuhan (2 Raja-Raja 2:8), maka tindakan Elia yang melemparkan jubah menunjukkan dengan jelas tentang panggilan Elisa.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita juga dipanggil untuk berkongsi tentang kasih Tuhan dengan orang lain dan “mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia” (1 Petrus 2:9). Walaupun mungkin kita juga tidak sempat menyiapkan tugas yang telah dipercayakan kepada kita, Tuhan akan memanggil “penyiap” yang lain untuk meneruskan pekerjaan mulia itu dan memperkenalkan Dia kepada dunia.