“Ayah, boleh saya tinggal satu malam dengan kawan saya?” anak perempuan saya bertanya sambil memasuki kereta selepas kelas latihan. “Nak, kamu tahu jawapannya ‘kan. Ayah ‘ni cuma pemandu. Ayah belum tahu lagi boleh atau tidak. Kita tanya ‘mak dululah ya,” kata saya.
“Saya cuma pemandu” telah menjadi lawak jenaka di rumah kami. Setiap hari, saya bertanya kepada isteri saya, seorang yang teratur jadualnya itu tentang tempat yang saya perlu berada, bila dan siapa yang saya kena bawa. Dengan ada tiga orang anak remaja, tugas saya yang seperti “pemandu teksi” kadangkala telah menjadi seperti kerja sambilan saya. Biasanya, saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu. Jadi saya perlu merujuk kepada si tuan penjaga kalendar.
Dalam Matius 8, Yesus bertemu dengan seorang lelaki yang juga tahu tentang menuruti dan memberi perintah. Seorang ketua tentera Roma faham bahawa Yesus mempunyai kuasa untuk menyembuhkan, seperti ketua tentera berkuasa untuk mengeluarkan perintah kepada orang bawahannya. “Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku” (ayat 8-9). Kristus memuji iman lelaki itu (ayat 10, 13), kagum kerana lelaki itu faham tentang bagaimana kuasa-Nya bekerja.
Jadi bagaimanakah dengan kita? Apakah akan terjadi jika kita mempercayakan tugasan harian kita kepada Yesus ? Ini kerana walaupun kita berfikir yang kita “hanyalah pemandu”, setiap tugasan yang diberikan Tuhan ada makna dan tujuan bagi kerajaan-Nya.