Sukar bagi Carol untuk memahami sebabnya semua kejadian ini berlaku serentak. Sudahlah dengan bebanan kerja yang sedia ada, tambah lagi kaki anak perempuannya patah ketika di sekolah, dan dia sendiri pula dijangkiti penyakit yang serius. Apa yang sudah saya buat? Mengapa saya harus alami semua ini? Carol tertanya-tanya dan apa yang dapat dilakukannya hanyalah memohon kekuatan daripada Tuhan.
Demikian juga Ayub. Dia tidak tahu sebabnya dia ditimpa kesukaran yang begitu dahsyat, malah kehilangan dan kesakitan yang dialaminya jauh lebih teruk berbanding Carol. Langsung tiada tanda-tanda yang dia sedar bahawa adanya perang di alam semesta untuk mengawal rohnya. Iblis mahu menguji iman Ayub dengan mengatakan bahawa Ayub akan mengutuk Tuhan jika dia kehilangan segala-galanya (Ayub 1:6-12). Rakan-rakan Ayub pula menuduh bahawa semua bencana yang dialami oleh Ayub itu adalah akibat daripada dosa-dosanya. Semua itu tidak benar dan Ayub juga pasti tertanya-tanya, mengapa ini berlaku kepada saya? Apa yang dia tidak tahu ialah semuanya itu berlaku atas kehendak Tuhan.
Kisah Ayub memberi kita pelajaran yang berkuasa tentang penderitaan dan iman. Kita mungkin cuba mencari alasan di sebalik kesengsaraan, namun di sebalik semua ini, mungkin ada kisah yang lebih besar dan di luar pemahaman kita.
Seperti Ayub, kita pun biasanya berpegang dengan apa yang kita tahu, tetapi Tuhan lebih mengetahui dan semuanya dalam kawalan-Nya. Dalam keadaan penuh kesengsaraan dan kesakitan, walaupun bukannya mudah, Ayub terus percaya kepada kuasa Tuhan: “TUHAN yang memberikan; TUHAN yang mengambil; segala puji bagi nama TUHAN!” (ayat 21). Semoga kita juga terus percaya kepada Tuhan tidak kira apa yang berlaku, walaupun kita tidak sepenuhnya faham apa yang berlaku.