Semasa saya membelek-belek alas-alas kaki yang dipamerkan di sebuah gedung beli-belah berhampiran, saya mendapati huruf “o” dalam perkataan pada alas-alas kaki seperti “Hello” (Helo) dan “Home” (Rumah) itu berbentuk hati. Saya pula memilih alas kaki yang bertulis “Welcome” (Selamat Datang). Sambil meletakkannya di lantai rumah, saya berkata dalam hati, adakah rumah saya benar-benar menyambut seseorang dengan cara yang dikehendaki Tuhan? Misalnya menyambut kedatangan seorang anak yang menjual coklat untuk projek sekolah? Jiran yang memerlukan pertolongan? Ahli keluarga dari luar bandar yang melawat secara tiba-tiba?
Dalam Markus 9, setelah Yesus dipermuliakan di sebuah gunung yang tinggi, tempat yang Petrus, Yakobus dan Yohanes menyaksikan dengan kagum akan kehadiran-Nya yang suci (ayat 1-13), Dia pergi menyembuhkan seorang anak lelaki yang dirasuk oleh roh jahat, yang bapanya sudah putus harapan (ayat 14-29). Yesus kemudiannya secara rahsia memberitahu para pengikut tentang kematian-Nya yang akan datang (ayat 30-32). Tetapi para pengikut-Nya langsung tidak memahami erti kata-kata Yesus (ayat 33-34). Justeru itu, Yesus mendakap salah seorang kanak-kanak dan berkata, “Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku bukanlah menyambut-Ku tetapi menyambut Dia yang mengutus-Ku” (ayat 37). Maksud perkataan menyambut di sini ialah mengalu-alukan dan menerima seseorang sebagai tetamu. Yesus mahu para pengikut-Nya menyambut sesiapa sahaja tanpa memandang status atau keadaan seseorang, seolah-olah kita menyambut Yesus sendiri.
Saya terfikir tentang alas kaki itu dan membayangkan bagaimana saya menyalurkan kasih-Nya kepada yang lain. Semuanya patut bermula dengan menyambut Yesus sebagai tetamu kehormat. Adakah saya bersedia untuk menyambut seseorang sesuai dengan pimpinan dan kehendak-Nya?