Apabila pasukan bola keranjang dari Universiti Fairleigh Dickinson (FDU) mula masuk ke gelanggang untuk bermain di pertandingan bola keranjang peringkat universiti, para peminat mula bersorak untuk skuad yang tidak dikenali itu. Pasukan itu tidak dijangka akan melepasi pusingan pertama, namun mereka berjaya juga. Pada ketika ini, kedengaran lagu pasukan mereka dimainkan dari pentas, walaupun mereka tidak diiringi oleh pancaragam. Rupanya pancaragam dari Universiti Dayton telah belajar bermain lagu FDU beberapa minit sebelum pertandingan bermula. Sebenarnya pasukan pancaragam itu boleh sahaja bermain lagu yang diketahui mereka, tetapi mereka memilih untuk belajar lagu FDU demi membantu sekolah dan pasukan lain.
Tindakan pasukan pancaragam itu boleh dilihat sebagai simbol kesepakatan yang dijelaskan dalam kitab Filipi. Paulus memberitahu jemaah awal di Filipi dan kita pada zaman ini agar hidup bersatu hati, atau “sejiwa” (Filipi 2:2), terutamanya kerana mereka bersatu dalam Kristus. Untuk melakukan sedemikian, Paulus menggalakkan mereka membuang cita-cita yang mementingkan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan orang lain.
Menghargai orang lain melebihi diri kita sendiri biasanya tidak akan datang secara semula jadi, tetapi begitulah caranya kita mencontohi Kristus. Paulus menulis, “Janganlah lakukan apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya” (ayat 3). Lebih baik melihat “kepentingan orang lain” (ayat 4) dengan rendah hati, daripada hanya tertumpu kepada diri sendiri.
Bagaimanakah kita membantu orang lain? Dengan mengutamakan kepentingan mereka sama ada belajar memainkan lagu sorak mereka, atau menyediakan apa sahaja yang diperlukan mereka.