Kegembiraan jelas kedengaran dalam nyanyian lagu Argentina, “El Cielo Canta Alegria” oleh pasukan koir sebuah sekolah menengah. Saya berasa seronok menonton persembahan itu tetapi tidak faham liriknya dalam bahasa Sepanyol. Tetapi tidak lama kemudian, saya terdengar satu perkataan yang biasa diucapkan semasa koir dengan penuh bersemangat melaungkan, “Haleluya!” dengan berulang-ulang. “Haleluya,” yang bererti “Puji Tuhan”, selalunya sebutannya sama dalam kebanyakan bahasa di seluruh dunia. Kerana ingin tahu tentang latar belakang lagu itu, maka selepas tamat konsert, saya terus melayari internet dan mendapati terjemahantajuk lagu itu dalam bahasa Inggeris ialah “Heaven Is Singing for Joy”(“Syurga Sedang Menyanyi dengan Gembira”).
Dalam Wahyu 19, kita telah diberi sekilas pandangan mengenai realiti yang ditunjukkan dalam lagu koir tersebut—semua makhluk di syurga bergembira! Dalam penglihatan rasul Yohanes tentang masa hadapan dalam kitab terakhir Perjanjian Baru, dia melihat satu kumpulan besar manusia dan malaikat di syurga menyatakan kesyukuran kepada Tuhan. Yohanes menulis bahawa satu paduan suara merayakan kekuasaan Tuhan yang menundukkan ketidakadilan dan kejahatan, pemerintahan-Nya atas seluruh bumi, dan kehidupan kekal bersama-Nya selama-lamanya. Semua penghuni syurga berulang kali menyatakan “Haleluya!” (ayat 1, 3, 4, 6), atau “Puji Tuhan!”
Pada suatu hari nanti, semua orang “daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa” (5:9) akan mengisytiharkan kemuliaan Tuhan. Dengan gembiranya, suara kita dalam pelbagai bahasa yang berlainan akan bersorak bersama, “Haleluya!”