Apabila Dr. Lee, profesor di seminari saya mendapat tahu bahawa penjaga bangunan sekolah kami, Benjie, akan lewat sampai untuk makan tengah hari bersama kami, dia secara diam-diam menyimpan makanan untuknya. Semasa saya sedang bersembang dengan rakan sekelas, Dr. Lee juga secara diam-diam meletakkan potongan kek beras yang terakhir serta menambah cebisan kelapa parut ke atas kek tersebut. Dr. Lee ialah seorang ahli teologi yang terkemuka, ini merupakan salah satu perbuatan baiknya yang saya lihat sebagai contoh kesetiaan Dr. Lee kepada Tuhan. Selepas dua puluh tahun kemudian, perbuatannya masih meninggalkan pengaruh yang mendalam bagi saya.
Rasul Yohanes ada seorang kawan yang juga meninggalkan pengaruh yang mendalam pada ramai saudara seiman. Mereka bercakap tentang Gayus sebagai salah seorang yang setia kepada Tuhan dan Alkitab, malah sentiasa setia “kepada kebenaran” (3 Yohanes 1:3). Gayus menunjukkan layanan yang baik kepada penginjil yang mengembara walaupun mereka tidak dikenalinya (ayat 5). Oleh itu, Yohanes berkata kepadanya, “Mereka telah memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu terhadap mereka” (ayat 6). Kesetiaan Gayus kepada Tuhan dan jemaah lain dalam Yesus telah membantu menyebarkan Injil.
Pengaruh mendalam yang ditinggalkan oleh guru saya terhadap saya dan pengaruh yang diberikan oleh Gayus pada zamannya adalah satu peringatan penting bahawa kita juga boleh memberikan kesan yang mendalam kepada orang lain, yang dapat dipakai Tuhan untuk menarik orang lain kepada Kristus. Selagi kita setia berjalan bersama Tuhan, marilah kita hidup dan bertindak dengan cara yang dapat membawa jemaah untuk setia berjalan bersama-Nya juga.