Seorang kawan telah melanggar janji perkahwinannya. Sungguh menyakitkan hati apabila melihat dia memusnahkan keluarganya. Semasa dia ingin berdamai dengan isterinya, dia meminta nasihat saya. Saya memberitahu bahawa dia perlu bertindak lebih daripada kata-kata; dia perlu proaktif untuk mencintai isterinya dan menghapuskan semua bentuk dosa.

Nabi Yeremia memberikan nasihat yang sama kepada mereka yang telah melanggar perjanjian dengan Tuhan dan mengikuti tuhan-tuhan lain. Walaupun kembali kepada Tuhan merupakan satu permulaan yang baik, tindakan ini belum menunjukkan pertaubatan mereka (Yeremia 4:1). . Mereka juga perlu melakukan apa yang dikatakan mereka. Itu bermakna mereka harus membuang semua “berhala-berhalamu yang menjijikkan” (ayat 1). Yeremia berkata bahawa jika mereka membuat komitmen untuk hidup “dalam kebenaran, keadilan dan ketulusan”, Tuhan akan memberkati bangsa-bangsa (ayat 2). Masalahnya, semua orang cuma membuat janji kosong. Hati mereka masih jauh daripada Tuhan.

Tuhan tidak mahu sekadar kata-kata; Dia mahu hati kita. Yesus berfirman,”Yang diluahkan mulut meluap daripada hati” (Matius 12:34). Itulah sebabnya Yeremia terus menggesa semua orang yang mahu mendengar kata-katanya agar mereka membersihkan hati mereka, yang seperti membajak di tanah yang kosong dan tidak “menabur benih di tengah-tengah semak duri” (Yeremia 4:3).

Sedihnya, seperti kebanyakan orang, kawan saya tidak menerima nasihat saya dan akhirnya bercerai dengan isterinya. Apabila kita berdosa, kita mesti mengaku dan bertaubat. Tuhan tidak mahu janji kosong. Dia mahu kehidupan yang benar-benar sesuai dengan kehendak-Nya.