Beberapa tahun selepas saya menerima Tuhan sebagai Penyelamat dan menyerahkan hidup saya kepada-Nya, saya merasakan Tuhan menyuruh saya menghentikan kerjaya saya sebagai wartawan. Ketika saya mengetepikan pena dan penulisan saya, tidak sangka bahawa suatu hari nanti Tuhan akan memanggil saya menulis untuk memuliakan Dia. Selama bertahun-tahun yang tidak pasti, saya berasa terdorong oleh kisah Musa dan tongkatnya dalam Keluaran 4.
Musa dibesarkan di istana Firaun, dan sepatutnya mempunyai masa depan yang cerah. Namun dia melarikan diri dari Mesir dan mengasingkan diri sebagai gembala domba ketika Tuhan memanggilnya. Musa sudah tentu berfikir bahawa tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk Tuhan, tetapi kini dia sedar bahawa Tuhan boleh memakai sesiapa atau apa sahaja untuk kemuliaan-Nya.
Tuhan bertanya kepadanya, “Apakah yang ada di tanganmu itu?” Jawab Musa, “Tongkat.” Tuhan berkata, “Campakkannya ke tanah.” (Keluaran 4:2-3). Dengan segera tongkat Musa bertukar menjadi ular. Apabila dia menangkap ular itu, dengan kuasa Tuhan ular itu bertukar menjadi tongkat semula (ayat 3-4). Tanda mukjizat ini diberikan kepada umat Israel supaya mereka “percaya bahawa TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub, telah menampakkan diri kepada [Musa]” (ayat 5). Seperti Musa yang membuang tongkatnya dan mengambilnya semula, saya membuang kerjaya saya sebagai wartawan demi mentaati kehendak Tuhan bagi saya. Kemudian, Dia memimpin saya mengambil semula pena saya dan sekarang saya menulis untuk kemuliaan-Nya.
Kita tidak perlu memiliki banyak kebolehan atau harta untuk dipakai oleh Tuhan. Kita dapat melayani Dia dengan bakat yang dikurniakan kepada kita. Tidak pasti bagaimana mahu bermula? Apakah yang ada di tangan anda?