Semasa melancong bersama ayah saya ke Ecuador yang dicintainya beberapa tahun yang lalu, kami telah melawat sebuah ladang kepunyaan keluarganya, tempat yang dia membesar. Di situlah saya mendapati sekumpulan pokok yang pelik. Ayah saya menjelaskan bahawa dulunya dia seorang anak nakal, dia akan mengambil cabang sebuah pokok buah yang telah dipotong, membuat belahan pada cabang pokok buah yang lain, dan mengikat cabang pokok yang dipotong ke batang pokok buah yang lain itu, meniru apa yang dilakukan oleh orang dewasa. Hasil perbuatan gurauannya itu tidak disedari sehingga pokok-pokok itu mulai menghasilkan buah yang berbeza di luar jangkaan.
Semasa ayah saya menerangkan kaedah cantuman itu, saya mendapat gambaran tentang apa yang dimaksudkan dengan percantuman kita ke dalam keluarga Tuhan. Saya tahu bapa saya yang sudah meninggal kini berada di syurga kerana dia dicantumkan ke dalam keluarga Tuhan melalui imannya dalam Yesus.
Kita juga boleh yakin bahawa suatu hari nanti kita akan berada di syurga. Rasul Paulus menjelaskan kepada orang-orang percaya di Rom bahawa Tuhan membuat jalan untuk bangsa-bangsa lain, atau orang bukan Yahudi, untuk berdamai dengan-Nya: “Kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu” (Roma 11:17). Apabila kita meletakkan iman kita dalam Kristus, kita dicantumkan dengan-Nya dan menjadi sebahagian keluarga Tuhan. “Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat” (Yohanes 15:5).
Seperti pokok-pokok yang ditanam, apabila kita meletakkan kepercayaan kita dalam Kristus, kita menjadi ciptaan baru dan boleh menghasilkan banyak buah.