Apabila saya mengusap perut dan bermain dengan kucing baka Hutan Norway (Norwegian Forest) kami, Mystique, yang cantik dan gebu, atau apabila Mystique tertidur di pangkuan saya pada waktu petang, terkadang sukar dipercayai bahawa kucing ini adalah kucing yang sama kami temui bertahun-tahun yang lalu. Mystique pernah tinggal di jalanan, kurus dan takut akan semua orang. Tetapi semua itu beransur-ansur berubah ketika saya mulai mengeluarkan makanan untuknya setiap hari. Akhirnya suatu hari Mystique membiarkan saya membelainya, dan tinggal bersama saya sejak itu.
Perubahan Mystique ialah peringatan tentang penyembuhan yang boleh terjadi dengan adanya kesabaran dan kasih. Ini juga mengingatkan saya tentang hati Tuhan yang diterangkan dalam Yesaya 42. Kita diberitahu tentang seorang hamba yang akan datang dan dikuasai oleh Roh-Nya (ayat 1). Dia akan bekerja tanpa jemu dan “dengan setia” menegakkan “keadilan [Tuhan] di bumi” (ayat 3-4).
Tetapi hamba itu—Yesus (Matius 12:18-20)—tidak akan membawa keadilan Tuhan melalui keganasan ataupun mengejar kuasa. Sebaliknya, Dia akan berdiam diri dan bersifat lemah lembut (Yesaya 42:2), penuh kasih dan sabar untuk menjaga mereka yang diabaikan oleh orang lain—mereka yang “terkulai” dan cedera (ayat 3).
Tuhan tidak pernah berputus asa terhadap anak-anak-Nya. Dia selalu mengambil masa untuk menjaga hati kita yang terluka, sehingga luka kita mulai sembuh. Melalui kasih-Nya yang lembut dan sabar, kita akan beransur-ansur belajar untuk mengasihi dan mempercayai sekali lagi.