Pandemik semakin berleluasa pada suatu ketika. Begitulah waktu yang dialami oleh Jason Persoff, seorang doktor bilik kecemasan di sebuah hospital besar yang komited untuk menyelamatkan pesakit Covid. Bagaimana dia masih boleh memberi rawatan sebaik-baiknya? Semasa cuti, dia akan bersantai dengan mengambil gambar seperti emping salji, sesuatu yang begitu kecil, kemudian memperbesarkan objek itu. Ini “kedengaran tidak masuk akal,” kata Dr. Persoff. Tetapi menemukan sukacita dalam sesuatu yang kecil tetapi cantik, merupakan “peluang untuk berhubung dengan Pencipta saya dan memerhatikan dunia ini dari perspektif yang tidak ramai orang akan mengambil masa untuk perasan.”
Persoff berkata, usaha yang bijak untuk menemukan sukacita dapat mengurangkan tekanan dan membina daya tahan, serta membawa manfaat yang tinggi bagi ahli-ahli perubatan. Tetapi dia juga mempunyai nasihat ini untuk semua orang: “Anda harus bernafas. Anda perlu mencari jalan untuk relaks dan menikmati kehidupan.”
Pemazmur Daud menyatakan pemikiran ini dalam Mazmur 16 apabila dia mengisytiharkan tentang kebijaksanaan yang bersukacita dalam Tuhan. “Ya TUHAN, Engkaulah warisan dan cawanku,” tulisnya. “Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan tenteram dalam harapan” (ayat 5, 9).
Dalam usaha untuk mengurangkan tekanan, manusia melakukan banyak perkara yang tidak bijak. Dr. Persoff menemui jalan yang bijak, jalan yang membawa dia kepada Pencipta, dan menawarkan kita sukacita di hadirat-Nya. “Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup; di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai, di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya” (ayat 11). Di dalam-Nya, kita mendapatkan sukacita abadi.