“Anda adalah orang asing.” Kata-kata tersebut menghancurkan hati seorang gadis berusia lapan tahun, dan kesakitan tersebut terus bersamanya. Keluarganya telah berhijrah dari kem pelarian di negara asalnya yang dilanda perang ke negara baharu, dan kad imigresennya mempunyai perkataan asing yang dicap di atasnya. Dia berasa dia bukan warganegara di mana-mana pun.
Setelah menjadi dewasa, walaupun dia meletakkan imannya kepada Yesus, dia masih berasa terasing—ditusuk oleh perasaan bahawa dia adalah orang asing yang tidak dialu-alukan. Namun ketika dia membaca Alkitab, dia menemui janji-janji dalam Efesus 2. Dalam ayat 12, dia melihat perkataan yang telah lama menghantui fikirannya, orang asing. “Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah” (TMV). Tetapi ketika dia terus membaca, dia melihat pengorbanan Kristus telah mengubah statusnya. Apabila sampai ke ayat 19, Alkitab menyatakan, “kamu bukan lagi” orang asing atau pendatang. Dia merupakan “sesama warga syurga” dengan umat Tuhan yang lain. Setelah menyedari bahawa dia ialah warganegara syurga, dia sangat gembira. Tidak lagi dia menjadi orang luar. Tuhan telah menerimanya untuk menjadi anggota keluarga-Nya.
Disebabkan dosa kita, kita terasing daripada Tuhan. Tetapi kita tidak perlu kekal seperti itu. Yesus membawa perdamaian kepada semua yang “jauh” (ayat 17), menjadikan semua yang mempercayai-Nya sesama warga negeri bagi Kerajaan-Nya yang kekal—bersatu sebagai tubuh Kristus.