Ibu saya dan Puan Sanchez bukan sahaja jiran yang berhubungan sangat rapat, mereka juga merupakan “pesaing” yang mesra. Kedua-dua mereka akan bersaing setiap hari Isnin untuk melihat siapa orang pertama yang menjemur pakaian mereka yang baru dicuci. “Dia mengalahkan saya lagi!” kata ibu saya. Tetapi minggu depan, ibu mungkin menjadi “pemenang”. Kedua-dua wanita ini menikmati persaingan mingguan mereka. Selain berkongsi lorong belakang rumah lebih daripada sepuluh tahun, mereka juga berkongsi kebijaksanaan, cerita dan harapan masing-masing.
Alkitab bercakap dengan penuh kemesraan tentang nilai hubungan persahabatan sedemikian. “Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu,” kata Salomo (Amsal 17:17). Dia juga menyatakan, “keikhlasan nasihat seseorang manis bagi sahabatnya” (27:9).
Sahabat baik kita pastinya Yesus. Dia menggesa murid-murid-Nya saling menjadi sahabat yang penuh kasih dan mengajar mereka, “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (Yohanes 15:13). Keesokan harinya, Dia mengorbankan diri-Nya di kayu salib. Dia juga memberitahu mereka, “Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu” (ayat 15). Kemudian Dia berkata, “Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri” (ayat 17).
Seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah Nicholas Wolterstorff, penyataan Yesus “ ‘meninggikan’ identiti para pendengar-Nya,” kerana orang bawahan kini diangkat menjadi sahabat rapat-Nya. Dalam Kristus, kita belajar untuk bersahabat dengan sesama. Yesus ialah kawan sejati kita yang mengajar kita untuk saling mengasihi!