Beberapa orang rakan pergi menaiki bot di Selat Inggeris, berharap bahawa ramalan tentang cuaca ribut akan berubah. Tetapi angin bertiup kencang dan ombak menjadi bergelora, sehingga mengancam keselamatan kapal mereka. Jadi mereka menggunakan radio untuk meminta bantuan daripada Institut Bot Penyelamat Kebangsaan Diraja (Royal National Lifeboat Institution, RNLI). Selepas beberapa saat yang tegang, mereka melihat penyelamat mereka dari jarak jauh dan dengan lega mengetahui bahawa mereka akan diselamatkan tidak lama lagi. Rakan saya merenung kejadian ini dengan penuh kesyukuran selepas itu, “Sama ada orang mengabaikan peraturan laut atau tidak, RNLI tetap datang untuk menyelamatkan.”

Semasa dia menceritakan kisah itu, saya memikirkan bagaimana Yesus mengetuai misi Tuhan untuk mencari dan menyelamat manusia. Dia datang ke bumi untuk menjadi manusia, hidup dalam kalangan kita. Melalui kematian dan kebangkitan-Nya, Dia memberi kita rancangan keselamatan kerana dosa dan ketidaktaatan kita telah memisahkan kita daripada Tuhan. Paulus menekankan kebenaran ini ketika dia menulis kepada gereja di Galatia: “Tuhan Yesus Kristus … menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini” (Galatia 1:3-4). Paulus mengingatkan jemaah di Galatia, mereka telah dikurniakan kehidupan baru disebabkan kematian Yesus, maka mereka patut memuliakan Tuhan setiap hari.

Yesus, penyelamat kita, rela mati untuk menyelamatkan kita yang telah sesat supaya kita mempunyai kehidupan kekal dalam kerajaan Tuhan. Untuk memberi kesyukuran kita kepada Tuhan, mari kita berkongsi berita keselamatan ini dengan orang-orang dalam masyarakat kita.