“Lahir semula? Apakah maksudnya?” tanya pengurus tempat pengebumian. “Tak pernah pun aku dengar istilah itu sebelum ini.” Maka anak lelaki mendiang itu mengambil peluang ini dan menjelaskan maksudnya melalui kata-kata dalam kitab Yohanes fasal 3.
“Secara faktanya setiap kita dilahirkan sekali ke dunia ini,” katanya. “Tuhan tidak menggunakan timbangan ajaib untuk menimbang perbuatan baik kita dengan perbuatan buruk. Tuhan menghendaki kita dilahirkan daripada Roh-Nya,” sambungnya. “Itulah sebabnya Yesus mati di kayu salib—Dia menebus jiwa kita daripada dosa-dosa kita sehingga kita boleh memiliki hidup kekal bersama-Nya. Kita tidak dapat melakukannya sendiri.”
Dalam Yohanes 3, Nikodemus mula meragui jika dia benar-benar telah mengetahui segala kebenaran. Sebagai seorang guru yang terlatih dalam Kitab Suci (ayat 1), dia menyedari bahawa Yesus adalah berbeza dan ajaran-Nya mempunyai kuasa (ayat 2). Dia ingin mencari kebenaran sendiri, jadi pada suatu malam dia mengunjungi Kristus untuk menyelesaikan keraguannya itu. Nikodemus pasti telah menerima pernyataan Yesus, “Kamu semua perlu dilahirkan semula” (ayat 7) serta percaya kepada Dia. Ini kerana pada masa kemudian dia yang membantu mempersiapkan jenazah Penyelamat untuk dikebumikan selepas Dia disalibkan (Yohanes 19:39).
Pengurus itu bersetuju untuk membaca kitab Yohanes fasal 3 apabila pulang nanti. Seperti anak lelaki mendiang yang berkongsi Injil dengan pengurus itu, marilah kita hayati kata-kata Yesus dan kongsikannya dengan orang lain. Ketahuilah bahawa Dia akan menolong kita melakukannya.