Tanah yang dibajak mengandungi rahsia—sesuatu yang tersembunyi. Sebagai persediaan untuk ulang tahun perkahwinan yang ke-50, Lee Wilson telah mengasingkan 80 ekar tanahnya untuk menghasilkan sejenis bunga terhebat yang pernah dilihat isterinya sebagai hadiahnya. Dia secara diam-diam menanam benih bunga matahari yang tidak terhitung jumlahnya yang akhirnya menguntum menjadi 1.2 juta tumbuhan yang berwarna keemasan—bunga kegemaran isterinya. Apabila sekian banyaknya bunga matahari yang kekuningan itu menegak, Renee terkejut dan terharu dengan luahan cinta Lee yang begitu indah.
Tuhan berkongsi rahsia dengan bangsa Yehuda semasa Dia berfirman melalui nabi Yesaya: Walaupun bangsa Yehuda belum dapat melihat bermulanya hari baru yang cemerlang pada masa itu, namun hari itu akan tiba juga, selepas Tuhan menghukum orang-orang yang tidak setia kepada-Nya (Yesaya 3:1-4:1). “Pada waktu itu, Tunas yang ditumbuhkan TUHAN akan menjadi indah dan mulia, serta hasil tanah akan menjadi kebanggaan serta kehormatan bagi orang Israel yang terselamat” (4:2). Ya, mereka akan mengalami kebinasaan dan pembuangan di bawah Empayar Babilonia, tetapi “tunas”—tunas baru yang muncul dari tanah—akan kelihatan kelak. Orang yang tersisa, yakni yang tertinggal (“yang disebut suci,” ayat 3), akan dibersihkan (ayat 4), dipimpin serta dipelihara-Nya dengan penuh kasih sayang (ayat 5-6)
Kehidupan harian kita boleh terasa tiada harapan, janji-janji Tuhan tidak atau belum dapat kita lihat. Tetapi apabila kita tetap berpegang teguh kepada-Nya dengan iman, suatu hari nanti semua “janji yang besar dan berharga” akan digenapi (2 Petrus 1:4). Hari baru yang berseri-seri sudah tiba.