Pada 14 Mac 2019, roket NASA meledak, dan menghantar angkasawan Christina Koch ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Koch kembali ke Bumi selepas 328 hari, mencipta rekod penerbangan angkasa lepas yang paling lama oleh seorang wanita. Setiap hari, kira-kira 409 kilometer dari bumi, sebuah skrin menjejaki masa angkasawan ini selang setiap lima minit. Dia mempunyai pelbagai tugas harian yang perlu diselesaikan (misalnya makan hingga membuat eksperimen), dan—jam demi jam—satu garisan merah akan kelihatan pada skrin, sentiasa menunjukkan sama ada Koch mendahului atau ketinggalan daripada jadual. Sedetik pun tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Walaupun rasul Paulus tidak mengesyorkan apa-apa yang mengganggu seperti garis merah yang menguasai hidup kita, dia memang menggalakkan kita menggunakan sumber masa kita yang berharga dan terhad dengan berhati-hati. Dia menulis, “Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif, tetapi sebagai orang bijaksana, dan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana” (Efesus 5:15-16). Kebijaksanaan Tuhan mengarahkan kita mengisi hari-hari kita dengan tujuan dan perhatian, menggunakannya untuk mempraktikkan ketaatan kepada-Nya, mengasihi sesama kita, dan mengambil bahagian dalam penebusan Yesus yang berterusan di dunia. Namun sedihnya, sangat mudah kita mengabaikan arahan yang penuh hikmat dan sebaliknya menggunakan masa kita dengan bodoh (ayat 17), membazirkan tahun-tahun kita dalam aktiviti-ativiti yang mementingkan diri sendiri atau merosakkan.
Yang pentingnya bukanlah untuk terlalu risau tentang masa, tetapi kita harus terus mengikut Tuhan dalam ketaatan dan kepercayaan. Dia akan membantu kita memanfaatkan setiap waktu dalam hidup kita.