Anak lelaki saya, Xavier, yang berketinggian 191 sentimeter, dengan mudahnya mengangkat anak kecilnya Xarian, yang sedang ketawa berdekit-dekit ke udara. Dengan telapak tangannya yang besar, dia memegang telapak kaki kecil anaknya dengan kuat. Sambil menghulurkan tangannya yang panjang, Xavier menggalakkan anaknya mengimbangi badannya sendiri sementara tangan sebelahnya bersedia untuk menyambut anaknya itu jika perlu. Maka Xarian meluruskan kakinya dan berdiri. Dengan senyuman yang lebar dan tangan ayahnya yang berada di sisinya, dia hanya perlu menumpukan matanya pada ayahnya.
Nabi Yesaya mengisytiharkan manfaat yang memberikan tumpuan kepada Bapa syurgawi kita: “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu” (Yesaya 26:3). Dia mendorong umat Tuhan untuk komited mencari Tuhan dalam Alkitab dan berhubung dengan-Nya melalui doa dan penyembahan. Mereka yang setia itu akan mengalami kepercayaan teguh yang dibina melalui persekutuan yang mantap dengan Bapa.
Sebagai anak-anak yang dikasihi Tuhan, kita boleh berseru dengan berani: “Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal” (ayat 4). Mengapa? Ini sebab Bapa kita yang di syurga boleh dipercayai. Dia dan Alkitab tidak pernah berubah.
Ketika kita memusatkan pandangan kita kepada Bapa syurgawi kita, Dia akan memastikan kaki kita tetap berpijak dengan teguh dalam tangan-Nya. Kita boleh berharap pada Tuhan yang penuh kasih, setia dan baik selama-lamanya!