Hampir 107,000 orang di stadium berdiri dengan penuh harapan apabila penendang bola sepak Amerika, iaitu Seth Small dari Universiti Texas A&M turun padang dengan hanya tinggal dua saat. Dengan skor 38-38 yang sama ketika menentang pasukan terbaik di negara mereka—sebuah pasukan yang biasanya memenangi perlawanan—jaringan gol yang berjaya akan melakarkan kekecewaan serta kemenangan yang epik pada masa yang sama. Dengan tenang, Small mengambil kedudukan tendangan. Stadium kemudiannya meletus dengan sorakan yang menggemakan selepas bola meluru melalui palang tiang gol dan menghasilkan skor kemenangan.
Ketika ditanya oleh wartawan bagaimana dia bersedia untuk saat yang begitu tegang, Small berkata dia asyik mengulangi ayat pertama dalam Mazmur 23, “TUHAN ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun.” Apabila Small memerlukan kekuatan dan jaminan, dia menggunakan metafora peribadi Tuhan yang mendalam sebagai seorang gembala.
Mazmur 23 ialah mazmur yang disukai ramai kerana ia memberi jaminan kepada kita bahawa kita boleh berasa aman, atau terhibur, kerana kita mempunyai seorang gembala yang penyayang dan boleh dipercayai, Dia yang menjaga kita secara aktif. Daud memberi kesaksian tentang realiti ketakutan dalam situasi yang tegang atau sukar serta penghiburan yang disediakan Tuhan (ayat 4). Perkataan yang diterjemahkan sebagai “menetapkan” (atau “menghibur”, TB) bermaksud jaminan, atau keyakinan dan keberanian untuk terus berjalan kerana Tuhan hadir untuk membimbing kita.
Apabila menghadapi keadaan yang mencabar—tidak mengetahui apa kesudahannya—kita boleh mendapatkan keberanian ketika kita terus mengulangi peringatan lembut ini: Gembala yang Baik berjalan bersama kita.