Seni perfileman? Bagus. Rakaman bunyi? Reflektif dan menenangkan. Kandungan? Menarik dan mudah difahami. Video tersebut membentangkan kajian tentang pokok Redwood yang disuntik dengan bahan yang serupa dengan adrenalin. Apakah tujuannya? Untuk mengelakkannya menjadi tidak aktif. Namun pokok itu mati kerana tidak mengalami kitaran “sejuk” secara semula jadi.
Mesej yang ingin disampaikan oleh video itu ialah perkara ini boleh berlaku kepada kita juga jika kita sentiasa sibuk tanpa musim rehat. Mungkin ada kebenaran dalamnya. Tetapi video itu tidak tepat. Tidak pernah ada kajian seperti itu. Pokok “Redwood” ialah tumbuhan malar hijau dan tidak pernah menjadi tidak aktif. Malah pokok-pokok dalam video itu adalah jenis Sequoia besar, bukan jenis Redwood yang boleh ditemui di pinggir laut. Walaupun video itu sekan-akan benar, ia adalah berdasarkan kepalsuan.
Disebabkan oleh teknologi zaman kini, kita hidup dalam zaman bahawa pembohongan cenderung diperbesarkan dan dilipat gandakan sehingga kita percaya semuanya adalah benar. Kitab Amsal, iaitu ringkasan hikmat Ilahi, sering bercakap tentang perbezaan yang nyata antara kebenaran dan dusta. “Bibir yang mengucap kata-kata benar akan tetap untuk selama-lamanya, tetapi lidah dusta hanya bertahan sekejap mata” (12:19). Ayat seterusnya juga memberitahu kita, “Tipu daya bersarang dalam hati orang yang merancang kejahatan, tetapi orang yang mengusahakan damai bersukacita” (ayat 20).
Kejujuran boleh diaplikasikan ke atas segala-galanya, daripada perintah Tuhan kepada video tentang pokok Redwood. Kebenaran “tetap untuk selama-lamanya.”