Empat orang cucu kami sedang bermain dengan set kereta api kecil, dan dua yang lebih muda bertengkar mengenai enjinnya. Apabila cucu kami yang berusia lapan tahun mula campur tangan, adik perempuannya yang berusia enam tahun berkata, “Jangan masuk campur, bang.” Biasanya, inilah kata-kata bijak untuk setiap kita. Tetapi apabila pertengkaran mereka bertukar menjadi tangisan, nenek pun masuk campur, memisahkan mereka, dan menghiburkan kanak-kanak yang bertengkar itu.
Adalah baik untuk tidak mencampuri urusan orang lain apabila berbuat sedemikian boleh memburukkan keadaan. Tetapi kadang-kadang kita perlu melibatkan diri dalam doa. Dalam suratnya kepada jemaah di Filipi, rasul Paulus memberikan contoh tentang masa untuk berbuat demikian. Dia menggesa dua orang wanita, Euodia dan Sintikhe, “bersatu hati dalam Tuhan” (4:2). Nampaknya, perselisihan mereka telah menjadi begitu tegang sehingga rasul Paulus tahu dia harus campur tangan (ayat 3), walaupun masa itu dia dipenjarakan (1:7).
Paulus tahu perbalahan kedua-dua wanita itu menyebabkan perpecahan dan mengalihkan tumpuan daripada Injil. Jadi, dia dengan lembut bercakap dalam kebenaran sambil mengingatkan mereka bahawa nama mereka tertulis “dalam Kitab Hidup” (4:3). Paulus mahu kedua-dua wanita ini dan semua orang dalam gereja itu untuk hidup sebagai umat Tuhan dalam pemikiran dan tindakan (ayat 4-9).
Apabila anda tidak pasti sama ada anda perlu campur tangan dalam hal perdamaian, berdoalah, percaya bahawa “Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu” (ayat 9; lihat ayat 7).