Ketika Krystal mula bekerja di sebuah kafe di Virginia, dia melayan seorang pelanggan bernama Ibby. Oleh sebab Ibby cacat pendengaran, dia membuat pesanan menggunakan nota yang ditaip di telefonnya. Selepas Krystal mengetahui Ibby ialah pelanggan tetap, dia bertekad untuk melayaninya dengan lebih baik. Maka dia rajin mempelajari Bahasa Isyarat Amerika supaya Ibby boleh membuat pesanan tanpa menulisnya.
Dengan cara yang kecil, Krystal menunjukkan kepada Ibby jenis kasih sayang dan layanan yang diperkatakan oleh Petrus. Rasul ini mahu supaya setiap kita dapat saling mempraktikkan jenis kasih ini. Dalam suratnya kepada orang-orang yang percaya kepada Yesus yang telah tercerai-berai dan diasingkan, Petrus menunjukkan bahawa mereka harus “saling mengasihi dengan sepenuh hati” (ayat 8, TMV), dan menggunakan kurnia mereka “untuk kebaikan semua” (ayat 10). Apa sahaja kemahiran dan kebolehan yang dikurniakan Tuhan kepada kita ialah anugerah yang boleh kita gunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Apabila kita melakukannya, kata-kata dan tindakan kita boleh mendatangkan penghormatan kepada Tuhan.
Kata-kata Petrus dalam suratnya itu amat penting bagi pendengarnya, kerana mereka sedang mengalami masa-masa penderitaan dan pengasingan. Dia menggalakkan mereka melayani satu sama lain semasa dalam kesusahan, kerana ini akan membantu mereka tabah menghadapi ujian. Walaupun kita mungkin tidak mengetahui penderitaan khusus yang dialami oleh orang lain, Tuhan boleh membantu kita untuk menunjukkan empati serta melayani satu sama lain dengan baik dan ceria melalui kata-kata, sumber dan kemahiran kita. Semoga Tuhan menolong kita, memantulkan kasih-Nya dengan melayani orang lain.