Nathan dibesarkan dalam keluarga yang percaya kepada Kristus, tetapi dia mula menyimpang daripada kepercayaan zaman kanak-kanaknya sewaktu dia belajar di universiti, bahkan menjadi kaki botol dan suka berpesta. “Tuhan membawa saya kembali kepada diri-Nya sedangkan saya tidak layak,” katanya. Lama-kelamaan, Nathan menghabiskan musim panas berkongsi tentang Yesus dengan orang yang tidak dikenali di jalan-jalan bandar utama Amerika Syarikat, dan kini dia sedang menamatkan latihannya dalam pelayanan belia di gerejanya. Matlamat Nathan adalah membantu golongan muda tidak membuang masa, tetapi belajar hidup untuk Kristus.
Seperti Nathan, pemimpin Israel iaitu Musa mempunyai hati untuk generasi seterusnya. Selepas mengetahui dia akan segera meletakkan jawatan kepimpinan, Musa menyampaikan peraturan-peraturan Tuhan yang baik kepada umat dan kemudian menyenaraikan kesan tentang ketaatan dan ketidaktaatan: ketaatan membawa berkat dan hidup, padahal ketidaktaatan membawa kutukan dan kematian. “Pilihlah kehidupan, supaya engkau dan keturunanmu dapat hidup,” kata Musa kepada mereka, “Dialah sumber hidupmu” (Ulangan 30:19-20). Musa menggesa mereka mengasihi Tuhan, mematuhi-Nya, dan berpaut kepada-Nya (ayat 20).
Memilih dosa membawa akibat. Tetapi apabila kita menyerahkan hidup kita kepada Tuhan sekali lagi, Dia pasti akan mengasihani dan memulihkan kita (ayat 2-3). Janji ini digenapi sepanjang sejarah umat Israel, tetapi juga dengan pekerjaan terakhir Yesus di kayu salib untuk membawa kita bersekutu dengan Tuhan. Kita juga mempunyai pilihan hari ini dan bebas memilih kehidupan.