Suatu hari Heather mendapat tugas untuk menghantar makanan ke rumah seorang lelaki yang bernama Tim. Di sana, Tim meminta bantuan Heather untuk membuka ikatan dalam beg makanan. Tim, yang telah diserang angin ahmar beberapa tahun sebelum ini, tidak lagi dapat membuka ikatan itu sendiri. Heather memenuhi permintaannya itu dengan senang hati. Sepanjang hari tersebut, Heather kerap memikirkan keadaan Tim, maka dia mendapat inspirasi untuk mengumpulkan pakej penjagaan untuknya. Apabila Tim kemudiannya menjumpai minuman koko panas dan selimut merah yang ditinggalkan oleh Heather di depan pintunya dengan nota yang memberikan galakan, dia berasa terharu.
Khidmat penghantaran Heather menjadi lebih berharga daripada yang dijangkakannya. Perkara yang sama berlaku apabila Isai menghantar anak lelakinya yang masih kecil, Daud untuk membekalkan makanan kepada saudara-saudaranya ketika orang Israel “mengatur barisan perang mereka untuk berhadapan dengan orang Filistin” (1 Samuel 17:2). Apabila Daud tiba dengan membawa roti dan keju, dia mengetahui Goliat telah menanamkan ketakutan dalam hati umat Tuhan dengan ejekannya setiap hari (ayat 8-10, 16, 24). Daud naik berang terhadap Goliat yang menentang “barisan perang daripada Allah yang hidup” (ayat 26). Jadi kerana hatinya tergerak, berkatalah dia kepada Raja Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu” (ayat 32).
Kadang-kadang Tuhan menggunakan cabaran dalam kehidupan seharian kita untuk meletakkan kita di tempat yang dikehendaki-Nya supaya Dia dapat menggunakan kita. Mari kita membuka mata (dan hati!) untuk melihat di mana dan bagaimana Dia mungkin mahu kita melayani seseorang.