Tre kerap pergi ke pusat kecergasan dan hasilnya terbukti daripada penampilannya. Bahunya menjadi lebar, garis ototnya jelas, dan lengan atasnya hampir sama dengan saiz paha saya. Keadaan fizikalnya mendorong saya mengadakan perbualan kerohanian. Saya bertanya sama ada komitmennya terhadap kecergasan fizikal secara tidak langsung mencerminkan hubungan yang sihat dengan Tuhan. Walaupun kami tidak berkongsi secara mendalam, Tre mengakui, “Tuhan wujud dalam hidupnya.” Kami bercakap cukup lama sehingga dia menunjukkan saya gambar “versi” lamanya yang seberat dua ratus lebih kilogram, tidak cergas, dan tidak sihat. Perubahan dalam gaya hidupnya telah menghasilkan keajaiban secara fizikal.
Dalam 1 Timotius 4:6-10, latihan fizikal dan rohani menjadi tumpuan. “Latihlah diri menjadi orang yang salih. Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, kerana memuat janji baik bagi kehidupan sekarang ataupun kehidupan akan datang” (ayat 7-8). Kecergasan luaran seseorang tidak mengubah status kita dengan Tuhan. Kecergasan rohani kita berkait rapat dengan hati kita. Ia bermula dengan keputusan untuk percaya kepada Yesus, dan melalui-Nya kita menerima pengampunan. Daripada titik itu juga, latihan untuk kehidupan yang salih bermula. Ini termasuk “dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik” (ayat 6) dan, dengan kekuatan Tuhan, menjalani kehidupan yang menghormati Bapa Syurgawi kita.
Jika anda telah memulakan perjalanan anda bersama Yesus, bagaimanakah anda menilai kesihatan rohani anda? Apakah bukti dalam hidup anda yang menunjukkan ada kerohanian yang sihat?
Bapa Syurgawi, ampunilah aku ketika aku terlalu fokus pada rupa luaran. Tolonglah aku menjalankan “senaman” rohani seperti membaca Alkitab, doa, mengasihi serta melayani orang lain.
Apabila Paulus berkata kepada Timotius, “Jika engkau mengajarkan hal-hal ini … engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik” (1 Timotius 4:6), apakah “hal-hal” yang dimaksudkan? Rasul Paulus memulakan suratnya dengan berkata, “memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat” (1:3). Sekarang dia kembali kepada tema tersebut: “sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis” (4:1). Apakah “ajaran-ajaran yang diajarkan oleh roh-roh jahat” itu? Paulus menjelaskan: “Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah” (ayat 3). Beberapa tahun sebelumnya, Paulus telah mengeluarkan amaran yang sama ketika dia bertanya kepada orang-orang percaya di Kolose, “Mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu: ‘Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!’? Peraturan sedemikian … menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia?” (Kolose 2:20-22). Berhati-hatilah terhadap agama palsu yang menentang iman yang tulen.
Tim Gustafson