Salji lebat jarang berlaku di Belanda pada musim sejuk, tetapi cuaca boleh menjadi cukup sejuk sehingga terusan menjadi beku. Ketika suami saya, Tom, membesar di sana, ibu bapanya mempunyai peraturan keluarga ini: “Jauhi ais sehingga ia cukup tebal untuk menahan berat seekor kuda.” Oleh sebab kuda akan meninggalkan bukti kehadiran mereka (yakni najis!), Tom dan rakan-rakannya memutuskan untuk mengumpulkan sedikit najis kuda untuk dijadikan baja dari jalan. Mereka melemparkannya ke atas ais nipis dan memberanikan diri untuk berjalan di permukaan ais tersebut. Mereka selamat pada hari itu, tiada sesiapa tahu perbuatan mereka ini, tetapi mereka tahu di dalam hati bahawa mereka telah ingkar kata orang tua.

Ketaatan tidak selalu datang secara semula jadi. Pilihan untuk patuh atau tidak patuh boleh timbul daripada rasa kewajipan atau takut akan hukuman. Tetapi kita juga boleh memilih untuk taat kerana kasih dan hormat terhadap orang yang berkuasa atas kita.

Dalam Yohanes 14, Yesus mencabar murid-murid-Nya dengan berkata, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku … Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku” (ayat 23-24). Bukannya mudah untuk menurut kata, tetapi kuasa Roh yang hidup dalam diri kita memberikan kita keinginan dan keupayaan untuk mematuhi Dia (ayat 15-17). Dengan kebolehan-Nya, kita boleh terus mengikut perintah Dia yang paling mengasihi kita—bukan kerana takut akan hukuman, tetapi kerana kasih.