Pada tahun 2015, sebuah pelayanan tempatan di Colorado Springs, Colorado, Amerika Syarikat, bekerjasama untuk berkhidmat di sebuah bandar, maka lahirlah pelayanan COSILoveYou. Setiap musim luruh, dalam acara yang dipanggil “CityServe”, kumpulan itu menghantar orang percaya dalam Yesus untuk melayani masyarakat di situ.

Beberapa tahun yang lalu, saya dan anak-anak saya telah pergi ke sebuah sekolah rendah di pusat bandar untuk melibatkan diri dalam projek “CityServe”. Kami membersihkan kawasan dan mencabut lalang. Kami juga mengusahakan projek seni, mengikat pita plastik yang berwarna-warni melalui pagar rantai, sehingga corak yang seakan-akan gunung terbentuk. Karya-karya ini kelihatan biasa, tetapi benar-benar cantik.

Setiap kali apabila saya memandu melintasi sekolah itu, projek seni kami yang sederhana mengingatkan saya tentang Yeremia 29. Masa itu Tuhan mengarahkan umat-Nya menetap dan melayani di kota yang didiami mereka. Dia memberi perintah ini walaupun mereka dalam pembuangan dan tidak mahu berada di situ.

Nabi Yeremia berkata, “Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada TUHAN untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu” (ayat 7). Perkataan kesejahteraan ialah shalom dalam bahasa Ibrani, dan merangkumi idea tentang keutuhan dan perkembangan yang hanya boleh dibawa oleh kebaikan dan penebusan Tuhan.

Hebatnya, Tuhan menjemput setiap kita menjadi ejen shalom-Nya—tepat di tempat yang kita berada. Kita dijemput untuk mencipta keindahan dan menunjukkan penebusan Tuhan dengan cara yang mudah dan utuh, dalam ruang yang Dia menempatkan kita.