Ahli-ahli keluarga berkumpul di sekeliling katil Dominique Bouhours, iaitu seorang ahli tatabahasa abad ketujuh belas yang sedang nazak. Sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya, dia dilaporkan berkata, “Saya hampir—atau saya akan—mati; kedua-dua ungkapan itu betul.” Siapa yang akan peduli tentang tatabahasa di ranjang kematian mereka? Saya fikir hanya orang yang mengambil berat tentang tatabahasa sepanjang hidupnya.
Apabila kita mencapai usia tua, sebahagian besar kita akan tetap dengan kebiasaan kita. Seumur hidup kita, pilihan yang kita buat akan menjadi kebiasaan, kemudian membentuk karakter kita, sama ada dari segi baik atau buruk. Diri kita dibentuk berdasarkan pilihan yang telah kita buat.
Lebih mudah untuk membangun tabiat salih ketika masih muda dan fleksibel. Petrus menggesa, “Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan; dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan; dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih” (2 Petrus 1:5-7). Amalkan sifat-sifat baik ini, dan “kamu akan diberi sepenuh hak untuk mewarisi kerajaan kekal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus” (ayat 11).
Sifat manakah dalam senarai Petrus yang paling hidup dalam diri anda? Kualiti mana yang masih perlu diperbaiki? Kita tidak boleh benar-benar mengubah siapa kita, tetapi Yesus boleh. Mintalah Dia mengubah dan menguatkan anda. Ia mungkin perjalanan yang perlahan dan sukar, tetapi Yesus pakar dalam menyediakan apa yang kita perlukan. Mintalah Dia mengubah sikap anda supaya anda menjadi semakin serupa dengan Dia.