Sekitar cuti kebangsaan Hari Kesyukuran, presiden Amerika Syarikat mengalu-alukan kedatangan dua ekor ayam belanda ke Rumah Putih sebelum menganugerahkan pengampunan presiden. Ayam belanda itu sepatutnya dihidangkan sebagai makanan tradisional utama pada hari yang istimewa ini, namun kini ayam belanda itu terselamat untuk meneruskan sisa hidup mereka di ladang. Walaupun ayam belanda tidak dapat memahami kebebasan yang telah diterima, tradisi tahunan yang luar biasa itu menyerlahkan kuasa pengampunan yang memberikan nyawa.
Nabi Mikha memahami pentingnya pengampunan apabila dia menuliskan amaran keras kepada orang Israel yang masih berada di Yerusalem. Sama dalam bentuk aduan undang-undang, Mikha mencatatkan bahawa Tuhan membuat pertuduhan terhadap bangsa Israel (Mikha 1:2) kerana bangsa itu lebih suka melakukan kejahatan dan terlibat dalam kefasiqan, penipuan dan kekerasan (6:10-15).
Di sebalik tindakan memberontak ini, Mikha mengakhiri penulisannya dengan harapan yang berasaskan janji bahawa Tuhan tidak selamanya murka, sebaliknya “mengampunkan kesalahan, dan yang menghapuskan pelanggaran” (7:18). Sebagai Pencipta dan Hakim atas semua, Dia boleh mengisytiharkan secara berwibawa bahawa Dia tidak akan murka berdasarkan tindakan kita kerana janji-Nya kepada Abraham (ayat 20)—yang akhirnya digenapi dalam kematian dan kebangkitan Yesus.
Kita telah diampuni daripada semua kegagalan kita untuk mematuhi piawaian Tuhan, dan inilah sebuah hadiah yang tidak layak kita terima malah membawa berkat yang sangat besar. Apabila kita semakin memahami manfaat pengampunan-Nya yang sempurna, marilah kita membalasnya dengan pujian dan kesyukuran.