Seorang lelaki di mahkamah memfailkan perintah sekatan terhadap Tuhan. Dia mendakwa Tuhan memperlakukan dia dengan “sangat buruk”, dan telah menunjukkan “sikap yang amat negatif.” Ketua hakim membatalkan guaman itu. Dia berkata lelaki itu memerlukan bantuan bukan dari mahkamah, tetapi untuk kesihatan mentalnya. Inilah kisah benar yang lucu, tetapi juga menyedihkan.

Tetapi adakah kita berbeza dengan lelaki tersebut? Bukankah kita kadang-kadang ingin berkata, “Berhenti, Tuhan, tolonglah, saya sudah penat!” Ayub juga pernah begitu. Dia membicarakan Tuhan. Selepas menanggung beberapa siri tragedi yang sungguh dahsyat, Ayub berkata, “aku hendak berbicara kepada Yang Maha Kuasa, aku ingin berperkara dengan Allah” (Ayub 13:3) dan “ingin bertikai dengan-Nya” (9:3). Dia bahkan mengeluarkan perintah sekatan: “Jauhkanlah tangan-Mu daripadaku dan janganlah kedahsyatan-Mu membuat aku takut” (13:21). Ayub membentangkan hujah pendakwaan terhadap Tuhan bukan kerana dia tidak bersalah, tetapi berdasarkan alasan bahawa Tuhan adalah kejam terhadapnya: “Adakah baik bagi-Mu bahawa Engkau menindas aku?” (10:3).

Kadang-kadang kita rasa Tuhan tidak adil. Sebenarnya, kisah Ayub adalah kompleks, tiada jawapan yang mudah untuk menjelaskan sebabnya dia mengalami segala penderitaan. Tuhan memulihkan nasib Ayub secara fizikal pada akhirnya, tetapi itu bukan selalunya rancangan-Nya untuk kita. Mungkin kita dapat “keputusan perbicaraan” dalam pengakuan terakhir Ayub: “Itulah sebabnya aku telah menyatakan apa yang tidak kufahami, hal-hal yang terlalu ajaib bagiku, yang tidak kuketahui” (42:3). Pentingnya, Tuhan mempunyai sebab bagi segala sesuatu yang kita tidak faham, dan kita boleh tetap percaya ada harapan yang indah di sebalik setiap hal.