Dorongan yang tulus dan kuat.” Itulah ungkapan yang digunakan oleh J. R. R. Tolkien untuk menggambarkan sokongan peribadi yang diberikan oleh sahabat dan rakan sekerjanya, C. S. Lewis, semasa dia menulis epik trilogi yang bertajuk The Lord of the Rings. Kerja Tolkien dalam siri ini sangat teliti dan berat tuntutannya. Dia sendiri menaip manuskrip yang panjang itu lebih daripada dua kali. Apabila dia menghantar manuskrip tersebut kepada Lewis, Lewis membalas, “Jerih perihmu yang memakan masa bertahun-tahun lamanya adalah berbaloi.”

Mungkin tokoh pendorong yang terkenal dalam Kitab Suci ialah Yusuf dari Siprus, yang lebih dikenali sebagai Barnabas (maksudnya “anak pendorong”). Nama ini diberikan oleh para rasul kepadanya (Kisah Para Rasul 4:36). Barnabaslah yang membela Paulus di hadapan para rasul (9:27). Kemudian, apabila orang percaya bukan Yahudi mula menaruh iman mereka kepada Yesus, Lukas memberitahu kita bahawa Barnabas “amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati” (11:23). Lukas menggambarkan dia sebagai “orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman,” sambil menambah bahawa disebabkan oleh Barnabas, “semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan” (ayat 24).

Nilai kata-kata dorongan tidak dapat diukur. Apabila kita mengucapkan kata-kata iman dan kasih kepada orang lain, Tuhan yang “meneguhkan harapan baik kita selama-lamanya” (2 Tesalonika 2:16) akan bekerja melalui apa yang kita ucapkan untuk mengubah hidup seseorang selama-lamanya. Semoga Tuhan menolong kita menawarkan “dorongan yang tulus dan kuat” kepada seseorang pada hari ini!