Apabila kakak saya menemukan sebuah buku cerita dari zaman kanak-kanak kami, ibu saya yang berusia tujuh puluhan sangat gembira. Ibu teringat semua kelucuan dalam cerita itu, tentang seekor beruang yang mencuri madu lalu dikejar oleh sekawan lebah yang marah. Dia juga teringat bagaimana saya dan kakak saya ketawa kerana kami menduga beruang itu dapat melarikan diri. “Terima kasih kerana sentiasa bercerita kepada kami semasa kami kanak-kanak,” saya memberitahu ibu saya. Dia mengetahui seluruh kisah hidup saya, termasuk perangai saya sebagai anak kecil. Sekarang saya sudah dewasa, namun dia masih mengenal dan memahami saya.
Tuhan juga mengenal kita—lebih dalam daripada sesiapa pun, termasuk diri kita sendiri. Daud berkata bahawa Tuhan “meneliti” kita (Mazmur 139:1). Dalam kasih-Nya, Dia mengamati kita dan memahami kita dengan sempurna. Tuhan mengetahui fikiran kita, memahami sebab di sebalik sesuatu dan makna tentang apa yang kita katakan (ayat 2, 4). Dia mengetahui setiap butiran peribadi kita dengan intim, dan Dia menggunakan pemahaman terhadap kita ini untuk menolong kita (ayat 2-5). Dia yang paling mengenal kita tidak akan berpaling daripada kita dengan rasa jijik, tetapi menjangkau kita dengan kasih dan hikmat-Nya.
Ketika kita berasa sunyi, tidak dipedulikan, atau dilupakan, kita boleh berpegang pada kebenaran bahawa Tuhan sentiasa bersama kita, melihat kita dan mengenal kita (ayat 7-10). Dia mengetahui seluruh peribadi kita yang tidak diketahui oleh orang lain—dan lebih banyak lagi. Seperti Daud, kita boleh berkata dengan yakin, “Engkau … mengenalku … Tangan-Mu akan memimpinku, tangan kanan-Mu akan memegangku” (ayat 1, 10).