Sudah sehari suntuk di hospital. Namun begitu, masih tiada lagi jawapan tentang penyakit yang menimpa anak muda cerdas berusia sembilan belas tahun itu. Setiba di rumah, keluarga itu patah semangat. Bagaimanapun, mereka terkejut kerana di anak tangga ada sebuah kotak berhias indah dengan ayat Yesaya 43:2 dicetak di bahagian hadapan. Di dalam kotak itu, terdapat pelbagai ayat Alkitab yang memberi dorongan, yang ditulis dengan tangan oleh rakan-rakan. Keluarga itu sangat terhibur oleh ayat-ayat Alkitab tersebut dan keprihatinan rakan-rakan mereka.

Orang yang menempuh masa sukar atau cabaran dalam keluarga sentiasa menghargai dorongan yang tulus ikhlas. Alkitab—sama ada satu bahagian besar atau hanya satu ayat—boleh mendorong anda, rakan atau ahli keluarga. Yesaya 43 dipenuhi dengan ayat-ayat yang memberi dorongan—diterima sama ada secara satu persatu ataupun keseluruhan. Renungkan ayat-ayat yang mendorong ini: Tuhan telah “menciptakan engkau,” “membentuk engkau,” “menebus engkau,” dan “memanggil engkau dengan namamu” (ayat 1). Tuhan “akan menyertaimu” (ayat 2), Dialah “Yang Maha Suci, Allah Israel,” dan Dialah “Penyelamat” kita (ayat 3).

Apabila anda merenungkan janji-janji Tuhan, semoga anda berasa terdorong. Dia memenuhi keperluan kita, kita juga dapat memberi semangat kepada orang lain. Kotak yang diisi dengan ayat Alkitab itu tidak memakan belanja yang besar, tetapi impaknya tidak ternilai. Walaupun selepas lima tahun, beberapa keping kad ayat Alkitab itu masih dihargai oleh keluarga tersebut.