Ketika saya terlibat dalam perjalanan misi jangka pendek ke Peru, seorang lelaki muda meminta wang daripada saya. Demi keselamatan, pasukan saya telah diarahkan untuk tidak memberikan wang. Jadi, bagaimanakah saya dapat membantunya? Kemudian saya teringat tindakan rasul Petrus dan Yohanes kepada lelaki lumpuh dalam Kisah Para Rasul 3. Saya menjelaskan kepada lelaki muda itu bahawa saya tidak dapat memberinya wang, tetapi saya boleh berkongsi berita baik tentang kasih Tuhan dengannya. Apabila dia berkata bahawa dia seorang yatim piatu, saya memberitahunya bahawa Tuhan mahu menjadi Bapanya. Kata-kata saya membuat dia berlinangan air mata. Saya memperkenalkan dia kepada ahli gereja tuan rumah kami untuk terus berhubungan dengan lelaki muda ini.
Kadangkala kata-kata kita terasa tidak cukup, namun Roh Kudus menolong kita semasa kita berkongsi tentang Yesus dengan orang lain.
Apabila Petrus dan Yohanes terserempak dengan lelaki lumpuh di halaman Bait Suci, mereka tahu bahawa berkongsi tentang Kristus ialah anugerah yang teragung. “Kemudian Petrus berkata, ‘Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Yesus Kristus, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah’ ” (ayat 6). Lelaki itu menerima keselamatan dan penyembuhan Tuhan pada hari itu. Tuhan memakai kita untuk menjangkau mereka tersesat untuk kembali kepada-Nya.
Apabila kita mencari hadiah yang sempurna untuk diberikan pada musim Krismas ini, marilah kita ingat bahawa hadiah yang sebenar adalah mengenal Yesus dan anugerah keselamatan kekal yang ditawarkan-Nya. Marilah kita rela dipakai oleh Tuhan untuk membawa orang lain kepada Penyelamat.