Apabila Pastor Timothy memakai kolar baju pendeta semasa dalam perjalanan, dia sering diberhentikan oleh orang yang tidak dikenali. “Tolong doakan aku,” orang di lapangan terbang berkata apabila mereka melihat kolar tersebut pada kot gelapnya yang biasa. Dalam penerbangan baru-baru ini, seorang wanita berlutut di sebelah tempat duduknya apabila melihatnya lalu merayu: “Adakah tuan seorang pastor? Bolehkah tuan mendoakan aku?” Lalu Pastor Timothy mendoakan wanita itu.
Sebuah petikan dalam Kitab Yeremia menjelaskan sebab kita berpersepsi bahawa Tuhan mendengar dan menjawab doa: Tuhan memang mengambil berat! Dia meyakinkan umat-Nya yang dikasihi tetapi berdosa dan dalam buangan, “‘Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka’” (29:11). Tuhan menjangka suatu masa apabila mereka akan kembali kepada-Nya. “Kamu akan berseru kepada-Ku, datang dan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar kamu. Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu” (ayat 12-13).
Nabi Yeremia amat memahami kuasa doa dan banyak lagi tentangnya semasa dia dipenjarakan. Tuhan meyakinkannya, “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab engkau dan menyatakan kepadamu hal-hal yang tidak kau ketahui” (33:3).
Yesus juga menggesa kita untuk berdoa. Dia berkata, “Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya” (Matius 6:8). Jadi “mintalah,” “carilah,” dan “ketuklah” dalam doa (7:7). Setiap permohonan yang kita buat dapat mendekatkan kita kepada Dia yang menjawab. Kita tidak perlu menjadi orang asing kepada Tuhan dalam doa. Dia mengenal kita dan mahu mendengar kita. Kita boleh menyerahkan kebimbangan kita kepada-Nya sekarang juga.