Saya menikmati hujung minggu saya di New Orleans—menyaksikan perarakan di French Quarter, melawat Muzium Kebangsaan Perang Dunia Kedua, dan makan tiram panggang. Bagaimanapun, ketika saya tidur di bilik tamu kawan saya, saya merindui isteri dan anak-anak saya. Saya senang hati mendapat peluang untuk menginjil di bandar-bandar lain, tetapi saya paling senang hati ketika berada di rumah.

Satu aspek hidup Yesus yang kadang-kadang orang terlepas pandang ialah betapa banyak peristiwa terpenting-Nya berlaku dalam perjalanan. Anak Tuhan datang ke dunia kita di Betlehem, satu jarak yang tidak terkira dari syurga dan jauh dari kampung halaman keluarga-Nya di Nazaret. Betlehem penuh sesak dengan anggota keluarga besar yang datang untuk dibanci. Jadi, Lukas mengatakan bahawa langsung tiada katalyma, atau “rumah tumpangan” yang tersedia bagi mereka (Lukas 2:7).

Apa yang tiada semasa kelahiran Yesus ada pula semasa kematian-Nya. Semasa Yesus membawa para pengikut-Nya ke Yerusalem, Dia memberitahu Petrus dan Yohanes untuk menyediakan jamuan Paskah mereka. Mereka harus mengikut seorang lelaki yang membawa kendi air ke rumahnya dan menanya tuan rumah untuk katalyma—ruang tamu yang Kristus dan para pengikut-Nya boleh mengadakan Jamuan Makan Malam Terakhir (22:10-12). Di sana, di ruang pinjaman, Yesus memulakan apa yang kini digelar Perjamuan Tuhan, yang membayangkan penyaliban-Nya demi menanggung dosa kita (ayat 17-20).

Kita senang hati berada di rumah, namun sekiranya kita mengembara bersama Roh Yesus, bilik tamu pun dapat menjadi tempat untuk bersama dengan Dia.