Apabila melihat buku tahunan sekolah menengah saya, cucu-cucu saya kagum akan gaya rambut, pakaian dan kereta “yang ketinggalan zaman” dalam foto. Saya pula nampak sesuatu yang berbeza—mula-mulanya senyuman kawan lama, ada yang masih kawan lagi. Lebih daripada itu, saya melihat Tuhan memelihara saya dengan kuasa-Nya. Hadirat-Nya yang lembut menyertai saya di sekolah semasa saya bergelut untuk menyesuaikan diri. Kebaikan-Nya memelihara saya—kebaikan yang diberikan-Nya kepada semua orang yang mencari Dia.

Daniel mengetahui hadirat Tuhan yang memelihara. Ketika dalam buangan di Babel, dia berdoa di “bilik atasnya [yang] terdapat jendelanya terbuka menghadap Yerusalem” (Daniel 6:10) meskipun perintah raja melarangnya berbuat demikian (ayat 7-9). Dari tempat berdoa yang strategik ini, Daniel mengingati hadirat Tuhan yang memeliharanya—mendengar dan menjawab doa-doanya. Oleh itu, Tuhan sekali lagi mendengar, menjawab dan memeliharanya.

Walaupun adanya undang-undang baharu itu, Daniel tetap mencari hadirat Tuhan tanpa mengira apa yang mungkin berlaku kepadanya. Maka dia berdoa seperti yang biasa dilakukannya (ayat 10). Semasa di dalam gua singa, Tuhan yang setia telah mengutus malaikat untuk melindungi dan menyelamatkannya (ayat 22).

Mengenang masa lampau kita semasa menghadapi cubaan dapat membantu kita mengingati kesetiaan Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh Raja Darius tentang Tuhan, “Dia melepaskan dan menyelamatkan, Dia mengadakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban baik di langit mahupun di bumi” (ayat 27). Tuhan itu baik dari dahulu sampai sekarang. Hadirat-Nya akan memelihara anda.