Kami sedang duduk di meja makan malam ketika cucu lelaki saya yang berusia sembilan tahun berkata sambil tersenyum, “Aku sama saja dengan Nenek. Aku suka membaca!” Kata-katanya membuat saya gembira. Saya teringat kembali pada tahun sebelum apabila dia jatuh sakit sehingga tidak dapat pergi ke sekolah dan harus berehat di rumah. Selepas dia bangun daripada tidur petang yang lama, kami duduk sebelah-menyebelah untuk membaca. Saya gembira dapat mewariskan kegemaran membaca buku yang saya terima daripada ibu saya.

Akan tetapi, itu bukanlah pusaka paling penting yang ingin saya wariskan kepada cucu-cucu saya. Saya berdoa agar warisan iman yang telah saya terima daripada ibu bapa dan yang saya usahakan untuk diwariskan kepada anak-anak saya akan juga membantu cucu-cucu saya menaruh iman kepada Yesus.

Timotius mempunyai warisan ibu dan nenek yang salih—serta seorang mentor rohani, iaitu rasul Paulus. Rasul Paulus menulis, “Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga” (2 Timotius 1:5).

Kita mungkin berfikir bahawa hidup kita belum cukup baik untuk menjadi teladan kepada orang lain. Mungkin warisan yang diturunkan kepada kita bukanlah yang baik. Bagaimanapun, masih belum terlambat untuk membina warisan iman untuk anak dan cucu kita, atau sesiapa pun. Atas pertolongan Tuhan, kita menyemaikan benih iman. Tuhanlah yang menumbuhkan iman (1 Korintus 3:6-9).