Jurugambar Ronn Murray menyukai cuaca sejuk. “Sejuk bermakna langit cerah,” jelasnya. “Langit cerah pula dapat membuka jendela kepada yang menakjubkan!”
Ronn mengurus lawatan fotografi Alaska khasnya untuk menjejaki cahaya yang paling menakjubkan di Bumi—aurora borealis (cahaya utara). Murray mengatakan bahawa pengalaman tersebut adalah “sangat rohani.” Jika anda pernah menyaksikan cahaya warna-warni ini merentasi langit, anda akan memahami sebabnya.
Akan tetapi, cahaya itu bukan sahaja merupakan fenomena di kawasan kutub utara. Aurora australis, iaitu jenis cahaya yang hampir serupa, juga wujud serentak di kutub selatan.
Dalam kisah Krismas yang dicatatkan oleh rasul Yohanes, dia tidak menyebut kandang dan gembala tetapi terus memperkatakan Dia yang “memberi terang [cahaya] kepada segenap umat manusia” (Yohanes 1:4, FAYH). Apabila Yohanes kemudian menulis tentang kota syurgawi, dia menghuraikan sumber cahayanya. “Kota ini tidak memerlukan sinaran matahari atau bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya” (Wahyu 21:23). Sumber cahaya ini ialah Yesus—sumber yang sama dirujuk dalam Yohanes fasal 1. Bagi mereka yang mendiami tempat masa depan ini, “malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan Allah akan menerangi mereka” (22:5).
Apabila hidup kita memantulkan cahaya Kristus di dunia ini, iaitu Dia yang mencipta aurora borealis dan australis, kita membuka jendela ketakjuban yang sebenar.