Semasa saya masih kecil di Ohio, kami tinggal berhampiran dengan beberapa buah tapak binaan. Pada suatu hari, saya dan rakan-rakan mengumpulkan sisa-sisa bahan binaan untuk membina kubu kerana mendapat ilham. Dengan meminjam peralatan daripada ibu bapa kami, kami mengangkut kayu dan menghabiskan berhari-hari untuk membina kubu daripada sisa-sisa bahan binaan tersebut. Betapa menyeronokkan, namun percubaan kami langsung tidak setanding bangunan yang dibina dengan kukuh di sekeliling kami. Kubu kami tidak bertahan lama.
Dalam Kejadian fasal 11, sebuah projek pembinaan yang besar-besaran telah dijalankan. “Ayuh kita bangunkan sebuah kota raya,” kata orang ramai, “dan sebuah menara yang puncaknya menanjak sampai ke langit” (ayat 4). Masalahnya, orang ramai melakukan usaha ini demi “[men]cari nama bagi diri [mereka]” (ayat 4).
Hal ini telah menjadi isu yang berulang bagi manusia; kita membina monumen untuk diri kita sendiri dan atas pencapaian kita. Kemudian dalam naratif Alkitab, kisah ini dibandingkan dengan motivasi Salomo untuk membina bait Tuhan: “Jadi, aku berniat hendak membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allahku” (1 Raja-Raja 5:5).
Salomo memahami bahawa apa yang dibinanya perlu menunjuk kepada Tuhan dan bukan kepada dirinya sendiri. Inilah pengajaran yang begitu penting sehingga dia menulis sebuah mazmur mengenainya. Mazmur 127 bermula dengan, “Melainkan TUHAN mendirikan rumah, sia-sialah tenaga orang yang membinanya” (ayat 1). Seperti pembinaan kubu zaman kanak-kanak saya, apa yang kita bina tidak akan kekal, namun nama Tuhan dan apa yang kita lakukan untuk-Nya mempunyai kepentingan yang kekal.