Jim telah bertarung dengan penyakit neuron motor lebih daripada setahun. Neuron dalam ototnya memburuk, dan ototnya semakin lemah. Dia kehilangan kemahiran motor halusnya dan semakin tidak berupaya untuk mengawal tangan serta kakinya. Dia tidak dapat lagi membutangkan baju atau mengikat tali kasut, dan langsung tidak dapat menggunakan penyepit. Jim bergelut dengan keadaannya dan bertanya, Mengapakah Tuhan membenarkan keadaan ini berlaku? Mengapalah aku?

Keadaan Jim adalah sama dengan ramai orang percaya yang mengemukakan persoalan mereka kepada Tuhan. Dalam Mazmur 13, Daud berseru, “Berapa lamakah, ya TUHAN, akan Kaulupakan aku selama-lamanya? Berapa lamakah Engkau akan menyembunyikan wajah-Mu daripadaku? Berapa lamakah aku akan bergelut dengan fikiranku sendiri sedangkan hatiku duka setiap hari? ” (ayat 1-2).

Demikian kita juga boleh membawa kekeliruan dan persoalan kita kepada Tuhan. Dia faham apabila kita berseru, “Berapa lamakah?” dan “Mengapakah?” Jawapan Tuhan diberikan kepada kita dalam Yesus dan kemenangan-Nya atas dosa serta kematian.

Apabila kita melihat kayu salib dan kubur Yesus yang kosong, kita mendapat keyakinan untuk percaya kepada “kasih setia” Tuhan (ayat 5) dan bersukacita dalam penyelamatan-Nya. Sekalipun pada malam yang gelap pekat, kita dapat “menyanyi memuji TUHAN, kerana limpah rahmat-Nya kepada [kita]” (ayat 6). Melalui iman kita kepada Kristus, Dia telah mengampuni dosa-dosa kita, menjadikan kita sebagai anak-anak-Nya, dan menyempurnakan tujuan-Nya yang abadi dalam hidup kita.