Satu amaran yang mengerikan telah dikeluarkan apabila Taufan Laura melanda Teluk Mexico yang mengarah ke pantai negeri Lousiana, Amerika Syarikat. Seorang anggota penyelamat mencatatkan kelajuan angin itu 241 kilometer sejam, lalu mengeluarkan mesej yang menggemparkan ini: “Sila meninggalkan tempat anda. Tetapi jika anda memilih tidak berpindah dan kami tidak dapat menghubungi anda, sila tuliskan nama, alamat, nombor keselamatan sosial dan nombor telefon keluarga terdekat anda. Masukkan ke dalam beg plastik ziplock, dan simpan di dalam poket anda. Doalah kita tidak perlu sampai ke tahap ini.” Kru penyelamat tahu bahawa sebaik sahaja Taufan Laura melanda, tiada apa-apa yang dapat dilakukan mereka, kecuali menyaksikan kemusnahan yang bakal terjadi.
Setiap kali umat Tuhan dalam Perjanjian Lama menghadapi malapetaka semula jadi atau rohani, firman-Nya dipenuhi kepastian dan harapan, yang menjanjikan kehadiran-Nya di sebalik kemusnahan. Dia berkata bahawa Dia akan “menghiburkan segala reruntuhannya; [dan] akan menjadikan tanah gersangnya … seperti taman TUHAN” (Yesaya 51:3). Lebih-lebih lagi, Tuhan sentiasa meyakinkan umat-Nya tentang penyelamatan dan penyembuhan yang pasti akan menyusul jika mereka percaya kepada-Nya. Walaupun “langit akan lenyap seperti asap,” kata Tuhan, … tetapi penyelamatan daripada-Ku kekal adanya” (ayat 6). Walau apa pun kerosakan, kebaikan-Nya yang abadi terhadap mereka tidak akan pernah terhalang.
Tuhan tidak melindungi kita daripada kesusahan, tetapi Dia berjanji bahawa penyembuhan yang membawa pemulihan jauh melampaui kemusnahan.