Selepas mengalami satu lagi masalah kesihatan yang tidak dijangka, saya menyertai suami dan yang lain untuk menghadiri satu retret di kawasan pergunungan. Saya menaiki tangga kayu yang menuju ke gereja kecil di puncak bukit. Bersendirian dalam gelap, saya duduk untuk berehat seketika di tangga kayu yang serpih. “Tolonglah aku, Tuhan,” saya berbisik semasa muzik mula kedengaran. Saya berjalan perlahan sehinggalah saya melangkah masuk ke gereja kecil itu, bernafas sambil merasakan kesakitan yang berlarutan. Meskipun begitu, saya bersyukur kerana Tuhan mendengar kami di padang gurun!
Beberapa saat yang paling intim ketika menyembah Tuhan tercatat dalam Alkitab berlaku di padang gurun. Semasa Raja Daud bersembunyi di Gurun Yehuda dan kemungkinan besar sedang melarikan diri daripada anaknya, iaitu Absalom, dia menyanyi, “Ya Allah, Engkau Allahku, aku akan mencari-Mu segera; jiwaku dahaga kepada-Mu, jasadku merindui-Mu, di tanah gersang tandus tanpa air” (Mazmur 63:1). Setelah mengalami kuasa dan kemuliaan Tuhan, Daud menganggap kasih Tuhan “lebih bernilai daripada nyawa” (ayat 3), dan itulah sebabnya dia berkomitmen untuk menyembah Tuhan seumur hidupnya—walaupun semasa berada di padang gurun (ayat 2-6). Dia berkata, “Kerana Engkau telah menolongku, maka di bawah naungan sayap-Mu aku akan bergembira. Jiwaku mengikut jejak-Mu dari dekat; tangan kanan-Mu memberiku kekuatan” (ayat 7-8).
Seperti Daud, walau apa pun keadaan kita, atau ketika menghadapi keganasan musuh kita, kita boleh menunjukkan keyakinan kepada Tuhan dengan memuji Dia (ayat 11). Walaupun kita akan menderita, kadang-kadang bukan disebabkan oleh kesalahan kita sendiri, kita boleh percaya bahawa kasih Tuhan sentiasa lebih baik daripada nyawa.