Erin ialah seorang kerani yang rajin. Dia sentiasa melakukan pekerjaannya dengan baik. Tetapi selepas dia dituduh berlaku tidak jujur, dia diarahkan mengambil cuti sementara disiasat. Erin berasa ingin berhenti kerja untuk menunjukkan bantahan tetapi dinasihatkan untuk bertahan. “Jika kamu letak jawatan, ini menunjukkan kamu bersalah,” dia diberitahu. Jadi Erin bertahan, berdoa agar Tuhan menegakkan keadilan untuknya. Seperti yang dijangkakan, beberapa bulan kemudian, namanya dibersihkan.

Yohanes Markus mungkin merasakan yang sama apabila Paulus melepaskannya daripada pasukan misi. Sebelum tu pemuda itu memang pernah meninggalkan mereka (Kisah Para Rasul 15:37-38). Tetapi mungkin dia menyesali perkara tersebut dan berharap untuk menyertai pasukan misi kali ini. Dia pasti berasa tidak adil kerana dihakimi oleh Paulus; namun hanya Barnabas yang percaya kepadanya.

Bertahun-tahun kemudian, Paulus mengubah fikirannya. “Dapatkan Markus dan bawa dia denganmu, kerana dia dapat membantuku dalam tugasku,” katanya (2 Timotius 4:11). Yohanes Markus pasti berasa lega kerana reputasinya dipulihkan.

Apabila kita dihakimi secara tidak adil, semoga kita ingat bahawa Yesus memahami perasaan kita: Dia sendiri telah dihakimi sebagai orang berdosa walaupun sebenarnya Dia bukan, dan Dia diperlakukan lebih buruk daripada penjahat biasa walaupun Dia ialah Anak Tuhan. Tetapi Dia terus melakukan kehendak Bapa-Nya, mengetahui bahawa nama-Nya akan dibersihkan dan dibuktikan suci. Jika anda telah dihakimi secara tidak adil, jangan berputus asa: Tuhan mengetahui dan akan bertindak menurut waktu-Nya.